About Me

My photo
Muadzam Shah, Pahang, Malaysia

Saturday, 27 August 2011

Ramalan yang Tepat...

Assalamualaikum.....
Dah lama sangat tak menulis di blog kesayangan saya..selain dari sibuk dengan rutin di sekolah,mood juga sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungan saya untuk bercerita di sini..kalau mood tak ok,bukan sahaja nak menulis disini, nak 'on' laptop pun terasa malas..hishhh

Bershoppping dikala 'last minute' memang bukan sesuatu yang saya gemar..tetapi kekangan masa yang memang tidak mengizinkan memaksa saya untuk berbuat demikian..kalau diikutkan hati mahu saja membeli segalanya di Muadzam Shah yang memang tiada istilah sesak dan padat itu, tapi bila ada kesempatan,dah dipaksa hati dan mata untuk membeli saja apa yang ada..namun tiada pula kasut yang berkenan dihati, tudung kepala tiada pula warna yang sedondon dengan baju, 'brooch' pula tidak kena dengan 'taste'...alahai payahnya..

Lantas, sesudah sehari tiba di Kuantan, rasa ingin ber'shopping' membuak - buak..maklumlah iklan 'sale' merata - rata..terdetik juga, alang - alang mencari kasut raya, boleh terus beli kasut untuk dipakai bekerja..ambik peluang ketika sedang murah..tudung kepala juga begitu dan tetiba terasa nak membeli lipstik & eye shadow..haaaa..kena sangat la dengan tempatnya di Kuantan ni..baru la puas dengan kualiti & harga yang dibayar..

Awal - awal lagi suami meramalkan..berbuka puasa dalam kereta kita ni..suami dah masak benar dengan tabiat saya kalau bershopping..kena tawaf dulu semua kedai..baru nak beli..tu belum masuk lagi bab mencuba berkali kali kali kali...baru beli...prinsip saya senang, pilih betul - betul, baru la berbaloi membeli..kalau guna prinsip tengok - ambik - bayar..baik beli di katalog...dok kat rumah diam - diam...

Membeli di kala semua orang pun sibuk membeli memang betul - betul cabaran...kalau tak fokus dengan apa yang nak dibeli, mahu diborongnya semua benda termasuklah aksesori yag tak perlu..Sebetulnya saya agak lama juga tidak bershopping untuk diri sendiri secara besar - besaran..sebelum ini banyak shopping untuk anak - anak...tapi bagi saya yang memang suka bershopping ni, beli untuk anak - anak pun terasa satu kepuasan..seronok tengok sesuatu yang lawa,baru dan bau kedai...hehhehe...

Setelah menghabiskan masa hampir 4 jam di shopping mall, apa yang saya dapat tak sepadan dengan masa yang saya luangkan..penat bersesak..tempat yang sangat padat sedikit sebanyak mengganggu mood untuk terus membeli..lantas apa yang dapat hanyalah 2 helai tudung yang saya kira paling hampir dengan warna baju yang bakal dipakai di hari raya nanti..hanya sepasang kasut..dan paling geram apabila warna lipstik yang nak dibeli dah habis stock...haiii...baru ingat nak anggun bergaya di rumah mertua..tak dapat laaaa....

Keluar dari Shopping mall pukul 6.15 ptg..dan memang cari penyakit untuk singgah di Bazaar Ramadhan..niatnya nak membeli sedikit juadah tambahan untuk di bawa berbuka di rumah mak..mendapatkan parking di saat genting waktu orang sangat sibuk ke pasar ramadhan, samalah seperti mencurah air ke daun keladi..( ehhh..betul ke pepatah ni ?)...berjam - jam juga kami berpusing - pusing mencari parking...last skali terpaksa parking di tempat yang sangat jauh..adoiii...Kesudahannya, juadah yang dibeli tidak lah seperti yang di cita - citakan..ayam golek dah habis...hisshhh...dan yang pasti tepatlah ramalan suami,memang kami berbuka puasa di dalam kereta....

Saturday, 16 July 2011

Permintaan Hati..

Assalamualaikum....terasa agak janggal berada di Muadzam pada pagi Sabtu dengan tiada perancangan..biasanya kami sekeluarga akan menghabiskan hujung minggu di rumah kami di Kuantan..jika bukan kerana saya ada komitmen di sebelah petangnya,mahu sahaja saya mengajak suami menjengok ibu di Kuantan..suami menggelar saya anak mak, tidur bawah ketiak mak..hehehe..lantak la..

Sementara anak - anak masih tidur, saya mengemas apa - apa yang patut lantas terus menyediakan bubur nasi untuk Rania ( puteri kesayangan yang berusia 9 bulan ) sambil saya berkira - kira, ' emmm...breakfast untuk yang lain beli aje lah..dah lama betul tak makan nasi lemak Pak Cu..'. Tetiba kelibat anak sulung saya muncul...

Razin  : Ibu buat apa tu ibu?
Saya   : Ibu masak bubur untuk adik...Razin nak makan apa?
Razin  : Nasi lemak lah..
Saya  : Haaa...nanti kita suruh abah beli nasi lemak ye..( saya kuatkan sedikit suara supaya suami yang leka di depan TV dengar apa yang kami bualkan )
Razin  : Ibu masak la ibu...

Terkesima saya seketika mendengar permintaan anak sulung saya yang baru minggu lepas menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-3 itu..kalau sebelum ini dia cuma menerima segala apa yang kami hidangkan tanpa banyak bicara..sekarang sudah ada permintaan sendiri..sambil tangan masih mengacau- ngacau bubur, saya pandang wajah Razin...jujur sungguh permintaannya..sebak saya seketika...terfikir sejenak, memang agak lama saya tak masakkan sesuatu untuknya, tumpuan lebih terarah kepada si adik, setiap hari ' without fail' saya akan bekalkan adik dengan bubur ke Taska...Razin hanya makan apa yang disediakan disana..sambil saya usap kepala Razin...

Saya   : ibu masak untuk Razin,nak nasi lemak kan?
Razin  : emmm..( sambil mengangguk - angguk kepala )
Saya  : ok...Razin mandi dulu ye...mintak abah mandikan...jangan lupa berus gigi ye...

Seketika suami pula muncul..agaknya kerana terdengar namanya disebut - sebut..'Ingat lagi ke masak nasi lemak tu ? ' bisik suami di belakang saya..' stakat nasi lemak, hujung jari je...' jawab saya membela diri la konon..' oooo..eksyen ye..tu pun mintak resepi ngan mummy kan? hahahaha...jom Razin kita mandi..' 

Monday, 11 July 2011

Bukan Cerita Biasa...

Assalamualaikum....selesai sahaja majlis di tingkat 5, saya terus bergegas le lift untuk ke bilik saya di Tingkat 4...penat sangat badan ni..sampai sahaja di bilik, suami sedang melayani anak sulung kami bermain..
SUAMI  :  macam mana majlis tadi?
SAYA    :  ok...
SUAMI  : seronok?
SAYA    : ok...
SUAMI  : banyak sangat ok ni, mesti tak ok...kalau tak, tak sempat tanya...laju je bercerita..

Saya pandang suami..
SAYA   : lapar la..
SUAMI : ehhh..patutnya lepas majlis makan - makan,mesti la kenyang...Jom Razin,kita belikan ibu Pizza..

Sambil makan pizza yang dibelikan suami, ( bersama - sama KFC ),saya bercerita kekalutan majlis tadi..dari layanan hingga ke makanan yang tidak memuaskan, itu belum lagi beberapa kejadian 'misunderstanding'  susulan...terasa fokus saya menguruskan majlis ini selama 2 minggu, seakan sia - sia..

SUAMI : sabar lah...ini baru dinamakan proses belajar...next time kena betul - betul comfirm, double check...
SAYA  : dah...semuanya on paper dah tu...
SUAMI : kalau macam tu, kena in charge sekali lagi la..pertama kali dikira percubaan...hahhahahaaa...
SAYA   : ishhh..penat tau..ingat semua ok..last - last jadi gini..
SUAMI : apa kata, ibu lupakan semua tu..esok kita gi jalan2 Genting...hilang sikit stress tu..

What?Genting...??haaa..terus lupa stress,penat,letih....saya suka sangat kalau jalan - jalan ni...

Esoknya...

SAYA   : abang...jadi ke kita ke Genting?
SUAMI : rasanya hari ni banyak jalan ke KL tutup...nanti saya pulak stress memandu..kita ke Gambang Resort je la..ok? Razin nak main - main air..
SAYA  : alaaaaaa........

Monday, 4 July 2011

Bukan Sumber Inspirasi...

Assalamualaikum....ketika ini saya sedang sangat sibuk menguruskan satu majlis yang bakal berlangsung di Kuantan pada hujung minggu ini..kelam kabut juga kerana banyak pula perubahan yang berlaku di saat - saat akhir..namun apa yang penting kerja haruslah terbaik dan biarlah semua pihak berpuas hati...

Sibuk dengan kerja sampingan itu,tidak membataskan saya untuk melakukan perjumpaan bersama kumpulan pelajar dibawah jagaan saya..( dalam sistem MRSM dikenali sebagai Keluarga Pelajar - Homeroom ) kesempatan yang diberi saya guna untuk mengupas beberapa isu yang selari dengan tahap kedewasaan dan kematangan mereka..apabila saya membawakan isu berpasangan ( coupling ), ada dikalangan mereka yang saya lihat tersipu - sipu, tunduk, memberi isyarat mata pada rakan disebelah dan tak kurang juga ada yang buat - buat tak dengar...ini yang membuatkan saya lagi curiga dengan mereka..

Apabila persoalan,perlu ke bercouple dizaman persekolahan?, saya utarakan, agak mengejutkan apabila ada yang lantang menjawab...perlu! Saya buat - buat berlagak tenang walaupun dalam hati dah bergelora geram dengan feedback yang baru diterima...Sebab apa perlu bercouple Aina?soal saya secara rawak...Untuk sama - sama belajar, beri semangat antara satu sama lain...sumber inspirasi..Saya lihat ada beberapa rakan Aina tidak setuju dengan pendapat peribadinya itu..tidak kurang juga ada yang bersetuju! Ohhh...semangat ye..sumber inspirasi?Apa jadi kalau tiba - tiba bergaduh, pasangan dah tak serasi, pasangan bertukar MRSM atau clash? apa jadi dengan semangat dan inpirasi yang kita cari tu? Worst case scenarionya ialah, what if kalau time tu kita nak final exam, or SPM ke....sanggup nak hampakan harapan parents?Panjang lebar juga saya berkhutbah..cuba membawa pelajar kesayangan saya diluar dari tempurung pemikiran mereka yang sangat sempit itu...Senyap seketika..berfikir mungkin!

Lalu saya bawakan satu kisah yang memang sangat segar dalam fikiran saya..kisah ini diceritakan sendiri oleh Mantan Pengarah suatu ketika dulu dalam satu kunjungan merasmikan satu majlis disini lebih 5 tahun dulu..Niat saya tidak lain tidak bukan adalah untuk menyedarkan mereka tentang satu hakikat yang tidak terjangkau oleh mereka. Tuan Pengarah memberi satu simulasi tentang seorang pemuda yang berada di sebuah gedung membeli belah, yang berniat untuk membeli sehelai baju kemeja...pastilah dia memilih dan mencuba pelbagai baju yang dilihat cantik dari segi warna, yang disentuh lembut tekstur kainnya, yang diteliti kemas jahitannya..sudah pasti juga dicuba berulangkali sehingga dia pasti pilihannya tepat..namun adalah mustahil untuknya membeli baju yang dicubanya tadi...pasti dia meminta baju lain yang masih berlipat kemas dan cantik di dalam plastik yang belum pernah dicuba oleh sesiapa..

Berbicara dengan pelajar yang saya kira sudah matang diusia 16 tahun itu, memerlukan kita melayan mereka seperti orang yang matang juga..tak perlu memberi sesuatu yang mereka sudah jelas dan maklum..itu merupakan pengulangan yang membosankan..memberi sesuatu yang tersirat, namun bermakna sudah cukup untuk memberi impak tentang cara mereka berfikir..lalu dalam hati kecil saya berkata,biarlah pertemuan singkat antara mereka ini sekurang - kurangnya memberi dimensi berbeza tentang coupling..jangan pulak nanti, yang dikejar tak dapat..yang dikendong berciciran..kan naya!

Sunday, 3 July 2011

Ikat Perutnya..?

Assalamualaikum....penat masih terasa,maklumlah baru sampai dari rumah mak...kerana mahu juga bersama- sama family untuk celebrate ulangtahun kelahiran mak ke-54,saya ajak suami untuk ke Kuantan.. kebiasaannya kami akan ke Kuantan pada petang Jumaat,jadi bolehlah kami berehat - rehat di rumah sendiri di Kuantan beberapa hari,petang Ahad bertolak semula balik ke Muadzam Shah..tapi memandangkan Sabtu lalu,pelajar - pelajar Tingkatan 5 menghadapi Mock Interview dan saya salah seorang dari Panel Penemuduga,lalu terbatallah hasrat hati untuk pulang ke Kuantan pada asalnya, tapi panggilan telefon dari rumah pagi tadi menyebabkan saya bertukar fikiran...lalu selepas Zohor kami ke Kuantan dan pukul 10.30mlm tiba di Muadzam...kesian driver...hehhehehe...

Majlis ulangtahun ibu tidaklah semeriah mana...hanya kek dan sedikit pulut kuning bersama rendang..tapi dimeriahkan oleh kehadiran anak - anak dan cucu - cucunya..tergelak saya melihat ibu membebel setelah keknya digigit Razin ( anak sulung saya )...oleh kerana tidak sabar mahu merasa kek neneknya itu,( Razin memang penggemar kek ) digigitnya tanpa sempat saya memotong kek tersebut terlebih dahulu..hahhahahahahaaa...

Sambil berehat - rehat, saya lihat ibu bersembang - sembang dengan suami di laman..'emmmm...harusla bercerita pasal isteri dia la tu..' detik hati saya...saya merapati..'nak join..' sambil saya duduk disebelah mak...lantas..

IBU       : kak teh kat rumah rajin masak tak?( kak teh- panggilan manja keluarga untuk saya )
SAYA    : masak...masak...hehhehehee...
SUAMI : emmmm...mana ada!..seminggu sekali pun payah ni...suruh kedai yg masak.(sambil jeling saya,  tak puas hati..)
SAYA   : mak..kalau tak beli kat kedai..mcm mana la kedai tu nak maju..kak teh tolong dia..
IBU       : eh..budak ni..loyar buruk, alasan! kenapa tak masak?anak dah 2 tu ..beli,byk duit kluar tu..
SUAMI : dia kalau takde bahan,mintak belikan..dah beli,sampai rosak benda tu dok dalam peti..tak masak masak pun...( muka dah kelat..)
SAYA   : ok..ok...kita balik awal sikit abang ek..,malam ni ibu masak ok..?( saya dah mati idea..2 lawan 1 )
SUAMI : haaaa...bila kita dah bising,ada je azam dia...kita beli bahan,tak masak, last2 rosak..buang je..beli ngan duit..duit bukan senang nak cari...

Banyak lagi bebelan selepas itu..tapi tak payah la tulis sini..pasal tak ingat..hahhahaaa....marah member..banyak juga ibu berikan tips..sebenarnya tips yang sama semasa belum ada anak, anak pertama dan sekali lagi masa anak dah 2 ni...kalau sayangkan keluarga,ikat perut suami dengan masakan dari air tangan sendiri..ikatan ngan anak -anak pun kuat,pegilah mana pun..dia pasti cari masakan mak dia jugak...( emmm..patutla saya suka balik makan rumah mak..) terima kasih mak...memang tak sia2 saya balik Kuantan..dapat dengar suara hati hubby..( pelik..kat rumah tak cakap pun...),tips berulangkali dari ibu..

Selepas dinner di rumah mak..( nampaknya tak tercapai azam saya nak masak dinner untuk hubby ) kami bertolak pulang ke Muadzam..tapi sempat saya 'songklap' buku resepi dari rumah mak..kak long saya punya tu..Dalam kereta...

SAYA   : abang tau,ibu dah tangkap satu buku resepi kak long...
SUAMI : ini yang ke 3 kan? tapi menu kat rumah sama je..hahahhaahhahhahaaaa...
SAYA    : alaaaaa...tengok tuuuuu...

Saturday, 2 July 2011

Tepuk Dada Tanyalah Hati...

Assalamualaikum....bersua kembali..rasa sangat lama tak ber'blog'...rindu betul nak menulis..tapi apa kan daya,tak sempat...masa seakan cemburu pulak..memang setiap hari seakan ada saje coretan yang nak dikongsi disini..tapi banyak pula perkara yang lebih penting yang harus didahulukan...

Petang tadi sambil berehat - rehat tatkala anak-anak melelapkan mata,panggilan telefon dari salah seorang rakan baik saya begitu mengujakan...Ros saya kenal sewaktu bersama - sama belajar di USM, sekarang seorang pendidik di utara tanahair,Ros seusia saya, sama - sama belajar di USM dalam jurusan yang sama dengan saya..sekarang mengajar 'foundation' untuk pelajar sebelum ke peringkat universiti. Dalam perbualan saya bersama Ros, banyak kenangan suka duka, pahit manis yang kami cuba kenang semula..mengimbau kembali zaman remaja la kononnya...dari kisah berkejar - kejar ke lecture hall ( kerana terlewat ) hingga lah kenangan bersama - sama jatuh motor ketika meronda - ronda di salah satu tempat di Penang...kalau dulu itu satu kenangan pahit yang tak ingin diingat semula,tapi bila dikenang semula sekarang, menjadi bahan lawak pula...

Bercerita tentang kerja, Ros berkongsi satu kenangan menarik..katanya ketika tahun pertama mengajar,  salah seorang pelajar lelaki kelasnya mempunyai wajah seiras bekas teman lelakinya ketika di universiti dahulu,Kamil(bukan nama sebenar)Sudah pasti saya mengenali Kamil walaupun kami bukan coursemate..Diketika itu usia Ros dan pelajar itu cuma berbeza 6 tahun! Menurut Ros setiap kali memandang Farid, fikirannya pasti teringat Kamil dan sedikit sebanyak menjejaskan proses pengajarannya...lalu mengambilkira segala aspek dan mengelak dari sesuatu yang lebih jauh, Ros memohon untuk mengajar kumpulan pelajar yang lain...'bagus tindakan ko tu Ros,ko ni bukan boleh percaya..kang jatuh hati ngan student,lagi parah....hahhahaha....' gurau saya..

Kisah Ros mungkin sesuatu yang terpencil dikalangan guru - pelajar...tetapi apa yang menarik bagi saya,tindakan rakan saya itu sesuatu yang patut dipuji...dia tidak terus membiarkan dirinya 'hanyut' dalam dunia kenangannya, dan merosakkan masa depan pelajar yang dahagakan ilmu darinya...Kisah ini mungkin terlalu biasa dan pasti ada yang terdetik,kenapa dihalang perasaan yang mungkin wujud pada guru - pelajar ini?Meminjam kata - kata seseorang yang saya kagumi...' biarlah pelajar tu meneruskan dunianya yang pasti masih luas terbuka untuknya..dia akan berjumpa dengan seseorang dimasa depannya,jangan kita yang merosakkan masa depannya...' Bagi saya segalanya terpulang pada kewarasan sendiri..jika ini berlaku pada adik lelaki kita?...lantas..Tepuk dada, tanyalah hati..

Friday, 10 June 2011

Gagalkah kita..?

Assalamualaikum....bersua kembali kita..ini first entry saya diwaktu cuti sekolah..saya jangka bila cuti sekolah banyak masa terluang dan bolehlah saya aktif ber blog..rupa - rupanya sangkaan saya meleset sama sekali..macam - maca pulak agenda yang seakan - akan tersusun menanti setiap hari untuk  dilangsaikan /
dibuat /memang suka nak buat ( shopping la tu ). Agenda yang wajib iaitu menanda kertas exam final pelajar seakan - akan menjadi secondary pulak..sorry la anak - anak pelajar kesayangan semua ye...

Semalam setelah selesai menanda semua kertas exam..terasa kelegaan yang amat sangat..bukanlah rasa sebenar apabila result pelajar - pelajar kurang memberangsangkan..lega apabila tugas yang wajib itu dapat dilangsaikan..ringan bebanan sikit..mengisi masa lapang, saya chat di ruang Facebook...biasanya berborak dengan bekas pelajar..bertanyakan perkembangan mereka,furthur study dimana? macam mana life after MRSM.?..itu soalan rutin..tersenyum dan seronok apabila ada yang belajar dalam bidang - bidang yang hebat dan bersaing dengan mereka yang juga hebat di oversea..terasa segala penat lelah dan keringat yang tumpah dalam mendidik mereka,berbaloi jua...jangan ada yang terasa hati..bagi yang belajar di institusi tempatan, anda juga hebat sebenarnya..

Betullah kata sesetengah orang, pabila seseorang pelajar berjaya, itu adalah hasil usaha,ketekunannya belajar,membuat segala apa yang guru arahkan,mengulangkaji tanpa jemu dan pelbagai lagi...dan guru mungkin hadir hanya untuk membantu..tetapi jika pelajar itu gagal diluar sana,besar kesannya pada guru..salahkah guru dalam mendidik mereka?tidak pandaikah guru dalam membentuk mereka menjadi insan yang baik? Terkesima saya apabila ada pelajar yang saya kira 'agak keterlaluan' dalam berbicara diruang maya tanpa wajah dan suara ini..mungkin tanggapannya...'ala cikgu tak nampak dan tak dengar suara aku..bukannya malu pun...' kalaulah ini tanggapan yang ada,ternyata begitu cetek anda berfikir...tulisan tanpa suara itulah sebenarnya memberi impak yang amat besar terhadap sesiapa sahaja..kerana ianya adalah nyata!ada disana sehinggalah kita memadamnya..berlainan dengan suara yang didengar,dalam berapa jam sahaja mungkin sudah dilupakan bait - bait kata tersebut...

Tidak perlu rasanya saya nyatakan disini ayat demi ayat yang 'keterlaluan' itu..cukuplah kalau saya katakan amat tidak bersesuaian dan mungkin lebih tepat lagi jika saya katakan ia sebagai 'tidak sopan'..tidak selayaknya dia mengeluarkan ayat - ayat yang akhirnya hanya merendahkan nilainya sebagai orang pelajar yang baik suatu ketika dahulu..atau jika bukan dirinya yang difikirkan,malulah untuk 'berbicara' sedemikian dengan orang yang pernah dipanggil guru...yang lebih memeranjatkan saya, pelajar lelaki ini pada suatu ketika dulu seorang yang pemalu,sopan dan pintar..alangkah begitu mudah persekitaran merubah insan yang dulunya hampir sempurna,kepada seorang yang dipandangan saya telah hilang segala nilai baik yang bukan mudah dipupuk dan disemai sedari kecil lagi...menyalahkan ibubapa mungkin agak klise disini,sementelah lagi pelajar ini saya kira sudah menginjak usia 20-an yang bukan boleh dimarah dan dibentak lagi...

Lalu 'perbualan' yang berlangsung hampir 10 minit itu amat terkesan kepada saya hinggalah ke saat ini..mood asal yang mulanya lega dan seronok telah bertukar sebaliknya..terfikir pula saya seawal pagi tadi setelah terbangun dari tidur,gagalkah kita dalam mendidik,menyemai dan mengukuhkan nilai - nilai baik dalam diri pelajar sehingga sebegitu mudah ianya hilang dan pudar dek penangan pengaruh negatif yang datang mencucuk dari segenap sudut? atau mungkin ini salah satu amaran awal bahawa remaja diluar sana sudah hilang segan dan silunya dalam berbicara tanpa mengenal siapa...

kalau difikirkan kemungkinan,pasti banyak lagi kemungkinan yang memungkinkan perkara ini terjadi..mungkin ini satu kes terpencil,namun kesan dari tindakan ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan..mungkin juga mereka harus belajar mendidik diri mereka supaya tidak terus terpengaruh dengan anasir diluar sana..

Sunday, 29 May 2011

Aku Terima Nikahnya...

Assalamualaiikum,,,,bertemu kembali setelah agak sekian lama menyepikan diri..sibuk la sangat..bila dah selesai segalanya..baru la boleh rehat dengan rehat yang agak panjang...

Semalam merupakan hari kemuncak untuk segala kesibukan..sebetulnya sibuknya sudah bermula hampir sebulan yang lalu..maklumlah bila ada agenda yang paling penting dalam mengubah 'title' seseorang, persiapan yang dibuat bukan lah sekadarnya sahaja, bak kata pepatah, melepaskan batuk ditangga sahaja..bagi saya pula, kalau dah alang - alang mandi tu biarlah basah..alang - alang menyeluk pekasam, biar sampai ke paras lengan wahhh...banyak pulak pepatah melayu kali ni..

Tatkala tiba dirumah mak..mata saya tercari - cari kelibat pengantin..aii..kat luar takde, jengok dibilik pengantin..amboi..lawanya..adik bongsu saya dah ,dewasa bila dimekap sebegitu, lengkap dengan persalinan tema ' off white'..cantiknya..bergenang juga air mata bila teringat kisah kami adik beradik yang kesemuanya perempuan ini..bakal menjadi milik orang adikku itu dalam sedikit masa lagi..kalau dulu adik ( dipanggil Busu ) memang menjadi penghibur kami..maklumlah jarak umur kak long, kak ngah dan saya memang rapat, Busu pula 8 tahun bezanya dengan saya..sudah pasti banyak sungguh keletah dan kerenah Busu yang masih terlekat difikiran saya..kenangan mengacau Busu dengan menukar ayam ( ayam saya lebih kecik berbanding Busu ) memang tidak luput diingatan saya..menangis - nangis dia..sekarang sudah terlalu dewasa untuk kami bergurau sedemikian rupa..alamak!..air mata mengalir pulak..

Pernah beberapa diketika dulu,nama Razin ( anak sulung saya ) sering tertukar dengan Busu..tersasul dalam memanggil nama keduanya..selalu jugalah saya mendapat jelingan ala - ala manja dari suami..'amboi..tak lekang nama adik dia, sampai anak pun dipanggil adik..' saya hanya mampu tersenyum kelat..karektor
nakal+manja Razin itu mengingatkan saya pada Busu...aiiiiihhhhh...yang kelakarnya setiap kali balik ke rumah ibu, pantang berjumpa, ada saje yang nak digaduhkan..gaduh - gaduh manja gitu..

Tepat pada pukul 11. 00 pagi, penuhlah rumah mak dengan rombongan dari sebelah pihak sang ajuna ( wahhh!) Busu diiring keluar dari bilik pengantin, duduk ditempat yang dihias cantik untuk mendengar lafaz ijab dan kabul yang bakal berlangsung..Diketika itu,teringat saya memori lebih 4 tahun lalu..disitulah juga tempat saya berada dulu, lantas saya dapat rasakan debaran didada Busu..dalam beberapa minit lagi, Busu bakal menjadi hak milik kekal kekasih hatinya itu..Setiap inci gelagat Busu, senyumnya, jelingnya, tunduknya malah ketika ekor matanya mencuri pandang bakal adik ipar saya itu, semuanya dalam perhatian saya..sesekali mak andam mengelap - ngelap peluh kecil Busu..mahu saja saya bisikkan..' rileks la Busu'..tapi risau pula mak disebelah yang tak rileks tu akan menyubit saya..

Ketika lafaz 'Aku terima nikahnya.....' diucapkan..hati saya menjadi sayu..adik bongsu saya itu bakal menjadi milik orang..tambah hiba apabila ucapan keramat itu disahkan oleh saksi - saksi yang sedia mendengar setiap butir perkataan yang diluahkan..maka rasmilah kini pemilikan itu..ketika mak dan Busu berpelukan,kelihatan Busu mengangguk - angguk kepalanya..barangkali banyak pesan+ nasihat+amanat yang mak titipkan pada anak bongsunya itu sepertimana yang mak pernah bisikkan pada saya dulu..melihat momen itu air mata saya mengalir deras..( saya ni jiwa sensintip sangat ke?) Rupa - rupanya rasa sayu hiba itu saya kongsi bersama 3 lagi kakak - kakak Busu yang lain..

Selesainya perjanjian ikatan suci itu semalam, maka selesailah segala penantian, kesibukan dan kerja keras kami sekeluarga dalam menzahirkan tambatan janji, ikatan kasih sayang antara 2 jiwa..segala apa yang direncana dan dirancang temakbul jua..apa yang pasti..tugas kami sudah selesai..tapi tugas adikku itu baru sahaja bermula sebagai isteri yang setia dan bakal ibu yang baik untuk anak - anaknya kelak.. Doa kami agar Busu akan sentiasa disayangi dan dicintai sebagaimana kami sekeluarga menyayangi dan mencintainya...selamat berbahagia wahai adik bongsuku...



Monday, 16 May 2011

Aprisiasi Dari Guru Untuk Guru... ( Bahagian 1 )

Assalamualaikum..bertemu kembali..rasa bersemangat pula hari ni..tahu kenapa?tentulah kerana penangan dari tarikh 16 Mei..dari pelajar sekolah rendah ke sekolah menengah, semuanya maklum tentang tarikh keramat ini kan?Tentulah sambutan Hari Guru..tak kiralah bagaimana dan dimana sambutan ini dilakukan,tetapi yang pasti, objektif utamanya tentulah untuk meraikan guru - guru disamping menunjukkan rasa kasih sayang, hormat dan penghargaan yang tidak berbelah bagi terhadap pengorbanan, keringat dan penat lelah guru mendidik mereka selama ini...

Bercerita tentang penghargaan untuk guru, ingin sekali saya imbas kembali jejak - jejak di alam persekolahan yang memberi impak yang maha kuat dalam membentuk saya menjadi seperti saya hari ini...maaf sekiranya tulisan saya seterusnya ini banyak membicarakan / menyebut nama guru - guru subjek Matematik..( alamak! jangan ada yang marah yeee..)

Guru pertama saya yang terkenal dengan garang dan tegas tentulah ayahnda tercinta..teringat saya bagaimana ayah 'memaksa' kami 3 beradik ( kak long, kak ngah dan saya ) untuk menghafal sifir..diketika itu saya baru berusia 7 tahun..tergagap2 kami menghafal sifir dari buku latihan yang dibahagian belakangnya tertera sifir 1 - 12..( ada lagi ke buku mcm tu skarang ni ?)tapi ayah lupa, anak2 perempuannya ni pantang dicabar..memang berjaya kami menghafalnya..itu pun setelah ayah memberi beberapa pengukuhan dan bertanya secara spontan..( 7 x 9 berapa = ? )haaaa...berpeluh jugak nak jawab pada permulaannya..ternyata pendekatan ayah terhadap dunia matematik sedari kecil memang menjuruskan saya terhadap kecintaan kepada dunia penuh angka ini...ayah selalu cakap..' nak bijak mengira, sifir mesti dok dalam perut'..( haaaa?dalam perut ? )

Menginjak ke zaman persekolahan, semestinya lah subjek kegemaran saya adalah........( penuhkan sendiri )Bersemangat pula rasanya apabila banyak soalan pengiraan dapat saya bereskan dengan mudah..( pastinya kerana asas yang kukuh yang dibekalkan oleh ayah )..Bukanlah semua soalan Matematik di Tahap 1 mampu saya siapkan dengan mudah. Di satu ketika ketika dalam Darjah 2, guru Matematik saya, Mr. Lee meminta saya untuk menyelesaikan soalan topik Pecahan (Fraction)..dek kerana salah dalam menjawab soalan, saya didenda berdiri di atas kerusi..hahhaha..namun kenangan itu teramat manis untuk saya lupakan begitu sahaja..dan hukuman dari Mr Lee itu saya jadikan sebagai sempadan untuk saya terus menerus memahirkan diri bagi topik Pecahan..Terima kasih cikgu..(selepas itu, takde lagi hukuman untuk saya..)Ketika saya di Tahun 5 dan 6...guru Matematik saya bernama Cikgu Fauzi..yang paling saya takkan lupa ialah apabila cikgu saya ini begitu tekun dan rajin mengadakan kelas tambahan untuk subjek Matematik..uniknya setiap kali kelas tambahan, cikgu akan memberi sebilangan soalan - soalan Matematik untuk dijawab dan sesiapa yang dapat menyelesaikannya, bolehlah balik awal berbanding yang lain...sudah pasti saya antara orang yang terawal...emmm..suka..suka..

Bersambung di Bahagian 2...tunggu....




Saturday, 14 May 2011

Final Exam...target..sasaran..kekalutan...

Assalamualaikum....bersua kembali setelah agak lama saya menghilang..sibuk sangat sampai tak menyempat nak update blog..emmm..nak buat macam mana..bila dah hampir menjelang final exam,cikgu cikgi pun sibuk, nak buat extra class la, nak cetak set soalan latihan la...sama naik dengan kesibukan pelajar nak buat preparations....isk..isk..

Bercakap tentang final exam atau peperiksaan akhir, tersenyum saya sendirian..teringat kekalutan sewaktu belajar di USM 10 tahun dulu..nak catch - up balik study,nak hantar assignment,nak jmpa lecturer,nak check carried marks dan macam2 lagi..itu belum masuk lagi bab masa tu baru nak form group discussion..tentu skali kekalutan itu saya kongsi dengan geng saya yang memang terkenal dengan study last minute..( geng tak insaf-insaf..hahhaha...)Seperti biasa bila dah insaf..library la tempat bersarang dari pagi sampai ke malam..kelakar jer..Lantas bila saya melihat kekalutan, kerisauan dan ke'stress' an pelajar2 saya..paham saya dengan situasi mereka..ini baru diperingkat menengah wahai pelajarku..belum lagi diperingkat matrikulasi atau universiti...ok..cerita pasal life saya kat U, sy akan kongsi di entry  seterusnya..

Seperti biasa menjelang final exam, saya pasti meletakkan satu target yang tidak boleh tidak mesti dicapai oleh pelajar saya..target tersebut memang selalu sangat disebut apabila waktu kelas,tapi makin hampir exam,makin keraplah menjadi sebutan saya..memandangkan pula subject Additional Mathematics bukanlah subjek yang boleh dibaca dan dihafal sahaja,makanya pelbagai set soalan disediakan untuk pelajar2 kesayangan..kerap saya berkata..'biar sampai temuntah jawab Add Maths..' dek kerana subjek ini memerlukan stategi, kaedah dan teknik menjawab yang betul, kalau dapat soalan terpijak pun,belum tentu pelajar tersebut dapat menjawab dengan baik..

Berbalik kepada target untuk subjek ini..biasalah,kalau tak dapat capai,alamatnya ada la 'habuan' menanti pelajar..itu yang menakutkan sikit, tetapi sedikit sebanyak mampu memberi kekuatan kepada pelajar untuk study secara luar biasa..ternyata ancaman yang kalau dilihat dari sudut positifnya, sebenarnya dapat mencungkil kebolehan sebenar pelajar..pelajar acapkali tersilap mentafsir niat sebenar cikgu yang memberi denda / hukuman terhadap apa yang mereka tidak dapat capai..dan pastilah sebelum meletakkan sesuatu sasaran/target, cikgu dapat membaca atau menduga keupayaan pelajar..mana mungkin pelajar yang agak sederhana ditarget untuk mendapat A+, mungkin cuma B+ atau A sahaja,walaupun end product nanti ( SPM ) pastilah itu yg kita mahu..target haruslah sesuai dengan keupayaan pelajar itu..

Jadi, untuk semua pelajar kesayangan cikgu ( walaupun mereka tak baca entry ini ), cikgu dengan setulusnya berdoa supaya anda semua dipermudahkan urusan, diberi kesihatan yang baik serta dilapangkan dada ketika berjuang di medan peperiksaan..cikgu tak mengharapkan lebih, cukuplah dengan kejayaan cemerlang dan gred yang baik untuk anda semua kongsi bersama keluarga setibanya keputusan itu dirumah kelak..cikgu hanya dapat tersenyum sendiri dan berkata '..itulah usaha yang kamu lakukan selama ini, cikgu hanya membantu supaya ianya menjadi lebih baik...'

Salam sayang..
- Cikgu Samihah -


Thursday, 28 April 2011

Pilihan..pilihan...

Assalamualaikum...emmm..dah lama sangat rasanya tak menulis..tiada kesempatan masa sebenarnya..Petang tadi ketika memasuki sebuah kedai menjual cenderamata,sambil - sambil mata meliar mencari - cari cenderamata untuk satu sambutan di bulan Mei, mata saya tertangkap satu kata - kata yang begitu cantik ditampal di dinding kedai tersebut..' pilihlah dengan pilihan yang bijak, jika tak mampu untuk memilih, akurlah dengan pilihan orang lain'...Amboi begitu mendalam sekali maksudnya tu..puitis sungguh!

Bercakap mengenai pilihan,seawal mula pandai menilai dan waras berfikir,kita sebenarnya telah membuat pilihan..pilihan untuk memakai pakaian kegemaran, warna kegemaran..membaca majalah kegemaran, menonton chanel kegemaran..dan banyak lagi perkara yang dilakukan berlandaskan pilihan sendiri..Semakin meningkat dewasa kita terdedah dengan pelbagai lagi pilihan yang mana akan memberi kesan pada masa hadapan..Pilihan tempat belajar, kolej mana?universiti mana?dalam negarakah atau mengembara ke negara orang?bidang perubatankah?engineering?accounting?atau mungkin bidang keguruan?emmmm..ada yang menggeleng kepala dengan pilihan terakhir itu?

Pilihan yang kita buat haruslah mengambil kira pelbagai aspek..baik buruknya..impak pilihan kita terhadap orang - orang yang kita sayangi..meranakah mereka?seronokkah mereka..redha kah mereka dengan pilihan kita itu?berubahkah kehidupan mereka tanpa kehadiran kita?emmm..banyak yang harus diteliti..banyak hati yang perlu dijaga..Di usia remaja jugalah jiwa bergelora dengan rasa cinta, sayang, kasih, rindu..dendam..sekali lagi pilihan yang terbaik harus dibuat..pilih lah si dia sebagai pendamping kita menggunakan kayu pengukur yang paling tepat..pilih dengan mengambilkira selera sendiri, pendapat ibubapa, pandangan keluarga..serta orang sekeliling..pilihan biarlah menggunakan ketajaman akal dan dipandu pandangan hati..usah silap dalam percaturan..nanti merana badan..

Melangkah ke alam pekerjaan tentunya lebih mencabar..pilihan pastinya harus dibuat sepantas masa berlalu..pilihlah untuk bekerja dengan rasa ikhlas, rasa seronok, bersemangat...Atau..boleh saja memilih untuk bekerja biasa - biasa saja..menjadi kakitangan yang biasa - biasa saja..menyudahkan rutin harian sekadarnya sahaja..bekerja hanya untuk memenuhi tuntutan  masa bekerja tanpa menyumbang apa - apa..lalu, jadilah kita orang yang biasa - biasa..masa yang dihabiskan dan usia kita akan terbazir begitu sahaja tanpa nilai kualiti..Dalam bidang keguruan ini,pilihan yang tepat harus dibuat setiap kali kaki melangkah..pilihlah untuk bertemu anak - anak  didik dengan rasa bersemangat, berkobar - kobar, bermotivasi..berperasaan ingin mendidik dan membentuk mereka..insya - Allah segalanya akan dipermudahkan oleh Nya..Lantas,kita seakan terlupa batasan masa di sekolah yang dijadualkan terhenti dipertengahan hari..bekerja hingga ke lewat petang seakan rutin..bukankah ini pilihan kita?...berlapang dada lah...

Salam sayang...

Thursday, 21 April 2011

CaNTik

Assalamualaikum.....cantik tak kita hari ni?Jangan terburu menjawab soalan itu, pergilah ke cermin dan senyumlah..emmm..cantik kan?Semua orang mempunyai perspektif yang berbeza tentang definisi cantik..ada yang mentakrifkan cantik untuk yang kurus,tinggi, berkulit cerah, berhidung mancung..ditambah lagi dengan pakej intelektual yang tinggi serta kaya dan beriman..amboi...ada berpendapat cantik apabila berpakaian mahal, bertudung Ariani, kasut warna sedondon dan handbag berjenama Coach!..uishhh..hebat! Ada yang menyatakan cantik apabila sedap mata memandang..emmm..ada yang kata cantik terletak pada warna pakaian yang dikenakan..kalau pink..terasa cantik la sangat..kalau kelabu..rasa suram..ada ke?
Dunia hari ini terlalu memesongkan pemikiran kita dalam mentakrifkan konsep cantik yang hakiki. Apa tidaknya, lihat saja aksesori tambahan yang berlambak dipasaran..tentunya kaum wanita mengenali (kalaupun bukan memiliki) bulu mata palsu, rambut palsu, dan pelbagai lagi yang palsu..tidak cukup dengan itu, trend terbaru, suntik sana,suntik sini..vitamin C, kalogen, Botox..jauh sungguh kita terpesong..Segala macam yang tersedia ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberi nafas baru bagi makna kecantikan..katanya berdagu runcing itu cantik, berkulit putih gebu itu cantik, berbulu mata panjang dan lebat itu cantik..dan macam - macam lagi..lalu bagi mereka yang imannya senipis kulit bawang,terbitlah rasa tidak bersyukur..

Persoalannya, siapakah kita untuk menentukan bagaimana rupa paras kita?Teralpakah kita terhadap kuasa yang Paling Agung?Dia lah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui tentang apa yang terbaik dan pastinya paling sempurna dan cantik untuk kita..Siapalah kita untuk mengubah segala yang telah cantik terbentuk selama 9 bulan 10 hari itu?Mengapa kita tidak bersyukur? Segala yang diciptakan untuk kita adalah yang terbaik dan paling sempurna..Perlu juga diingat, kesempurnaan dan kecantikan yang tersedia adalah pinjaman semata - mata..lambat laun akan diambil juga oleh Yang Berhak.

Lantas, usahlah terlalu risau tentang kecantikan luaran yang pastinya akan pudar dan lusuh seiring perubahan waktu. Yakinlah kecantikan hakiki terletak pada hati dan hanya mereka yang memandang dengan pandangan hati sahaja yang mampu mengagumi dan menghayati kesempurnaan itu. Usah biarkan hati yang cantik tadi tercemar dek bisikan - bisikan nafsu yang akhirnya menjurus kepada sesuatu yang palsu. Jadilah diri kita seumpama mawar,cantik dan harum..namun dipagari duri berbisa..! Renung - renungkan....dan selamat berhujung minggu


Tuesday, 19 April 2011

Alasan...alasan..

Assalamualaikum...bertemu lagi kita di entry saya ke 3 ini..terasa keinginan untuk terus menulis amat membara..seperti yang saya nyatakan sebelum ini..' teruja kerana mempunyai blog sendiri '..namun masa yang tersedia beberapa hari yang lalu digunakan untuk menguruskan perkara lain yang jauh lebih penting dari rasa keterujaan saya ini..lalu terhentilah seketika aktiviti penulisan saya itu..Namun kesempatan masa yang sedikit terluang ini ingin saya manfaatkan sebaik mungkin..memetik phrase dari salah satu filem kegemaran saya, 'My Best Friend's Wedding'..if you don't grab the chance, the time will pass you by..dalam sungguh maksudnya tu..

Bercakap mengenai alasan..ramai dari kita yang tersenyum kambing..seperti terkena dibatang hidung sendirikah?emmm...pernah reka pelbagai alasan untuk melepaskan diri?Hakikatnya untuk mencipta satu alasan yang sempurna dan cantik memerlukan satu gambaran minda yang sempurna..otak kita dipaksa bekerja keras untuk membentuk satu imej baru yang belum pernah dialami atau dilakukan oleh anggota fizikal kita..bayangkan betapa susahnya!!saya bagi satu contoh kita terover due dalam melaksanakan sesuatu task yang diamanahkan kepada kita..ummmm..saya percaya berpeluh juga kita mencari 1001 alasan untuk meyakinkan boss yang sebenarnya ianya bukanlah kekhilafan mutlak kita..1001 alasan?usah terburu mencari 1001 alasan..cukuplah dengan 1 alasan yang munasabah, meyakinkan dan kedengaran cerdik..haa..susah tu sebenarnya..silap - silap, lagi banyak berpeluhnya dari mencari 1001 alasan..ehh..saya sedang memberi tips kah?

Sebenarnya situasi diatas hanya gambaran dimana betapa susahnya untuk mereka atau mencipta suatu alasan bagi menutup kelemahan. Terkadang integriti dan jati diri akan melayang dek kerana ingin cuba membersihkan 'nama baik'.Apalah salahnya mengakui kelemahan dan kesalahan itu, lantas memohon maaf dengan berhikmah disamping sematkan dalam jiwa dan berazam tidak akan mengulangi perbuatan itu.Otak kita juga tidak perlu bekerja berkali ganda! Terlalu banyak lagi agenda penting dan kritikal yang perlu dianalisis dan ditafsir oleh sang otak..Otak harus dilatih untuk mentafsir sesuatu yang benar sahaja,bukan mengada - adakan sesuatu yang tiada..takut nanti dek kerana terbiasa dengan latihan 'mencipta' sesuatu yang tiada, otak terus - terusan mencipta imej yang tidak nyata..lalu hiduplah kita seperti angan - angan Mat Jenin..yang diangankan tak dapat, sakit jatuh dari pokok kelapa yang dapat...

Selamat berfikir....emmm..jangan cari alasan malas berfikir pulak ye...Salam sayang..

Saturday, 16 April 2011

Asal buruk jadi baik...

Salam...bersua kembali..rupa - rupanya bila dah lama tidak mengarang atau lebih tepat lagi 'menulis',sebenarnya payah untuk datang idea..walau bagaimanapun,dek kerana teruja dengan adanya blog sendiri,perasan ingin menulis begitu membuak - buak...manakan tidak,disini lah medan untuk saya berkongsi idea dan cetusan rasa dalam bentuk garapan penulisan..harap idea yang dicurahkan kali ini memberi manfaat pada sesiapa yang sudi membaca..( ada ke?)..

Beberapa hari yang lepas,setelah kerja dirumah sudah dibereskan,tergerak untuk saya membuka satu chanel TV yang dah lama dipandang sepi..maklumlah..dunia hari ini penuh dengan pilihan,chanel TV juga berpuluh - puluh..malah chanel radio juga terdapat di TV..maju sungguh..tanpa disangka- sangka,chanel yang bukan pilihan saya itu sedang mengutarakan satu perbincangan yang bagi saya amat terkesan pada saya hingga sekarang..ASAL BURUK, JADI BAIK..

Pernahkah kita terfikir jika sebelum ini kita selalu memikirkan perkara yang buruk mendahului yang baik?memikirkan yang buruk - buruk bermakna membiarkan minda kita dikuasai oleh pemikiran yang negatif yang lambat launnya akan menjurus pula kepada perbuatan yang negatif. Tidak terhenti disitu sahaja, pemikiran dan perbuatan yang telah terkoordinasi ini lambat laun akan membentuk pula tabiat atau akhlak yang negatif.

Adakah setiap keadaan kita perlu berfikiran baik?persoalan ini timbul apabila kita harus mengakui adanya nafsu yang hakikatnya mendorong ke arah keburukan..Disinilah cantiknya fitrah Allah..nafsu harus dilentur dan dididik..nafsu yang tidak terdidik akan menjerumuskan kita kearah kebinasaan..biar kita yang menguasai nafsu,jangan nafsu menguasai kita..

Jadi berfikirlah kita sejenak..sejauh mana telah kita biar minda dan fikiran kita untuk memproses input yang negatif dan buruk?berfikirlah secara positif dan baik,lambat laun akan menjadikan kita insan yang lebih baik..bukankah menjadi lebih baik itu impian setiap dari kita?

Thursday, 14 April 2011

Salam pembuka bicara

Assalamualaikum......salam sejahtera dan selamat berhari Jumaat...dah hari Jumaat pun..terasa begitu cepat masa berlalu. Sehari menjadi seminggu bertukar bulan dan tanpa sedar bertukar tahun..bila bercakap tentang masa, kita semua takkan mampu untuk menahan atau menghalang mahupun menghentikan edaran waktu. Lalu beruntunglah bagi mereka yang mampu mengoptimumkan 24 jam yang diperolehi. Bagi saya dan mungkin semua orang pun, 24 terasa begitu pendek untuk melangsaikan tugas yang saban hari menanti dan menunggu untuk dibereskan..

Namun jika waktu dapat diuruskan dengan baik,terlalu banyak pula masa yang tersisa yang mungkin bagi sesetengah orang dimanfaatkan untuk merilekskan otak dan otot yang penat bekerja..( TIDO ). Betul lah kata orang, orang yang sibuk akan lebih menghargai masa..kadang - kadang terdetik rasa cemburu dengan mereka yang dapat menguruskan 24 jam dengan baik..manakan tidak..jadual harian tersusun cantik bermula dari terbit matahari hingga ke malam dan segalanya selesai jam 11 mlm dan sedia untuk merehatkan badan..nampaknya terpaksa lah menjengah ke kedai buku hujung minggu ini untuk mencari panduan menguruskan masa..baru sekarang nak belajar menguruskan masa?its better late than never...betul tak?

Jumpa lagi...dan selamat berhujung minggu